Sejak akhir-akhir ini, terdapat suara-suara daripada para peniaga pulasan di kedai cawangan Kota yang menuntut agar wakil mereka diberikan jawatan yang lebih signifikan dan lebih tinggi bagi memastikan Majlis Peniaga Pulasan (MPP) lebih berfungsi bagi mereka
Kejadian ini adalah serupa dengan keadaan pasca PRU Ke-12 yang lalu yang mana perwakilan parlimen dari negeri-negeri Borneo tidak berpuas hati dengan pembentukan kabinet Pak Lah selaku PM ketika itu.

Ahli-ahli Parlimen Sabah & Sarawak telah menuntut lebih banyak tempat dalam kabinet lantaran sebahagian besar undi datang dari negeri-negeri itu,
Sesetengah ketua-ketua peniaga di kedai pulasan cawangan Kota ini berkira-kira bahawa faktor utama MPP kurang berfungsi di kedai pulasan mereka adalah kerana kedudukan dan jawatan wakil-wakil mereka yang dilihat tidak begitu signifikan di peringkat pusat.
Sepertimana yang dilaporkan Suara KeABILan sebelum ini, tinjauan yang dilakukan mendedahkan MPP kurang memberi manfaat dalam kehidupan dan perniagaan para peniaga pulasan di kedai cawangan Kota ini.
Berdasarkan rekod, tiada perwakilan dari kedai pulasan cawangan kota yang pernah menduduki kerusi majlis tertinggi dalam MPP.

pulasan yang enak
Datin Sri Fatunbah Zanuyah, Presiden Jawatankuasa Keluarga & Susuan Anak-anak Kedai Kerepek Pulasan (Jaksa-KKP) yang juga bekas perwakilan peniaga pulasan cawangan Kota dalam MPP menjelaskan ketiadaan perwakilan di peringkat Majlis Tertinggi, menyebabkan segala dasar dan tindakan dari MPP kadangala tidak mengambil kira keadaan dan situasi perniagaan dan para peniaga sendiri di kedai cawangan Kota.
Pendapat beliau disokong oleh En Baijuri Bin Uni
“Para peniaga pulasan di kedai-kedai cawangan seperti di Kubang Kerian dan Kuantan mempunyai perwakilan dalam majlis tertinggi MPP mereka. Begitu juga di Labuan. Kita perlu mencontohi mereka. Dengan adanya perwakilan yang berada di dalam majlis tertinggi, saya yakin MPP akan menjadi lebih komited dan progressif bagi para peniaga di cawangan Kota ini.”
En. Baijuri Bin Uni merupakan peniaga pulasan yang hangat dikatakan bakal dicalonkan untuk menjadi perwakilan dalam MPP sesi akan datang.

- gambar hiasan -
Ditanya mengenai jawatan apa yang sepatutnya di berikan kepada perwakilan dari kedai cawangan Kota, beliau menjawab Naib Yang Di-Pertua III.
“Biarpun menjawat jawatan Naib Yang Di-Pertua III, perwakilan ini tidaklah bertanggungjawab ke atas pimpinan keseluruhan kedai induk dan cawangan, tetapi memadai dengan kuasa autonomi ke atas hal ehwal peniaga kedai cawangan Kota sahaja. Kita letakkan wakil dalam majlis tertinggi hanyalah untuk mendapat suara yang lebih kuat dalam MPP dalam menjelaskan keadaan sebenar Kota. Akhirnya segala dasar dan pelaksanaan MPP tidak lagi akan mengabaikan kehendak dan situasi perniagaan di Kota.”
Walaubagaimanapun, cadangan ini dilihat kurang berkesan oleh Tan Sri Dato’ Haji Ikhran Jubih yang pernah bersama Datin Sri Fatunah Zanea dalam MPP.
Katanya, biarpun secara teorinya dengan adanya wakil kedai cawangan Kota dalam majlis tertinggi MPP akan menyebabkan suara peniaga cawangan Kota dalam MPP menjadi lebih tinggi, praktikalnya ia masih belum mampu membawa signifikasi MPP itu dalam perniagaan di kawasan Kota.
Ini kerana, kesibukan perniagaan di kedai cawangan Kota amat mengehadkan masa untuk para perwakilan menghadiri sidang mesyuarat MPP yang kadang kala dilakukan ketika waktu perniagaan.
“Dan itulah masalah sebenar yang patut diatasikan dan apa yang boleh kita lakukan buat masa ini adalah terima hakikat ini”